(Noor Jehan yang sakit di Zoo Karachi sedang dirawat oleh doktor haiwan tempatan dan dijaga
oleh kakitangan zoo ketika dia berbaring di atas tanah/AFP)
KARACHI, 21 April- Seekor gajah Afrika berusia 17 tahun yang menghidap tumor di sebuah zoo di Pakistan mungkin akan 'ditidurkan' atau 'euthanasia' iaitu mematikan atas dasar belas kasihan selepas keadaan kesihatannya semakin merosot setiap hari.
Noor Jehan menjalani rawatan kecemasan di sini pada 5 April lalu dan sejak itu ia semakin lemah hingga tidak mampu untuk berdiri sendiri.
Nasib gajah betina berkenaan kini bergantung kepada ketua doktor haiwan dari badan kebajikan haiwan, Four Paws International yang berpangkalan di Austria, Amir Khalil.
Khalil, yang mengetuai pasukan merawat Noor Jehan berkata, beliau ingin membuat ‘percubaan terakhir’ untuk membantu menyelamatkan mamalia terbabit.
“Kami akan berjuang sehingga yang terakhir untuk pemulihannya, dan selebihnya adalah di tangan Allah.
“Kami tekun mengikuti arahan Four Paws untuk rawatan Noor Jehan," kata Kanwar Ayub, Pengarah Zoo Karachi
Noor Jehan dilapor masih boleh menerima makanan yang disuap walaupun terbaring, ditusuk jarum suntikan dan kerap disiram air untuk menyejukkan badannya.
“Keadaannya masih kritikal dan tidak menentu,” kata Four Paws.
Nasib menyedihkan Noor Jehan dikongsi oleh aktivis hak asasi haiwan di media sosial di Pakistan dan luar negara yang menggesa supaya zoo itu ditutup.
Zoo Karachi sering dituduh mengabaikan kebajikan haiwan, dan pada tahun 2020, mahkamah mengarahkan satu-satunya zoo di ibu negara itu ditutup kerana keadaannya yang usang. -AFP
(Noor Jehan sedang diberi makan/AFP)