fb fb fb fb fb

RM4.4 bilion, pakej ketenteraan baharu kepada Ukraine - Amerika Syarikat

WASHINGTON,16 Jun- Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pakej baharu ketenteraan untuk Ukraine yang bernilai AS$1 bilion (RM4.4 bilion) bagi pembelian senjata dan peluru.

Perkara tersebut dimaklumkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Rabu selepas bercakap dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky yang mengesahkan sokongan Washington untuk Kiev dalam memerangi pencerobohan Rusia.

Pakej senjata itu termasuk memiliki lebih banyak artileri, sistem pertahanan antikapal pantai dan peluru untuk artileri dan sistem roket canggih yang sudah digunakan oleh Ukraine.

"Saya mengesahkan komitmen AS akan menyokong Ukraine dalam mempertahankan demokrasinya dan menyokong kedaulatan dan integriti wilayah dalam menghadapi pencerobohan Rusia yang tidak diprovokasi," kata Biden kepada Zelensky dalam satu panggilan telefon.


(Kerosakan infrastruktur di Donetsk susulan perang Rusia-Ukraine/AFP)

Biden juga mengumumkan bantuan kemanusiaan bernilai AS$225 juta (RM990 juta) untuk Ukraine.

Dana itu akan digunakan untuk membekalkan makanan, air minuman, bekalan perubatan dan barangan kritikal lain.

"Keberanian, ketabahan, dan keazaman rakyat Ukraine terus memberi inspirasi kepada dunia," tambah Biden dalam satu kenyataan.

Pentagon memperincikan bekalan baharu itu termasuk 18 howitzer 155mm dan 36,000 butir peluru, dua sistem peluru berpandu antikapal Harpoon berasaskan darat dan roket tambahan untuk empat sistem roket ketepatan Himars yang akan diletakkan oleh Ukraine dalam masa terdekat.

Dengan jarak sehingga sekitar 80 kilometer, roket Himars berpotensi memberikan Ukraine keupayaan yang lebih besar untuk menyerang sasaran Rusia, dengan lebih tepat dalam pertempuran artileri yang berterusan di sepanjang barisan hadapan.

Turut dalam pakej baharu itu ialah ribuan radio dan peranti penglihatan malam serta sistem penglihatan terma.

Pakej bantuan senjata baharu itu menyaksikan sehingga kini AS menyumbang AS$5.6 bilion (RM24.63 bilion) bantuan ketenteraan kepada Ukraine sejak Rusia menyerang pada Februari lalu. -AFP

Media Baharu