fb fb fb fb fb

Kes cacar monyet di Britain melepasi angka 500

LONDON, 16 Jun- Jumlah kes cacar monyet di Britain melebihi 500 kes pada Rabu, lapor Xinhua, berdasarkan angka rasmi terkini.

Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) berkata ia mengesan 52 kes cacar monyet tambahan di England, satu di Scotland, dan satu di Wales - menjadikan jumlah kes yang disahkan di Britain kepada 524 setakat Selasa.

Terdapat 504 kes yang disahkan di England, 13 di Scotland, dua di Ireland Utara, dan lima di Wales, kata UKHSA.

"Sesiapa sahaja boleh mendapat cacar monyet, terutama jika anda mempunyai hubungan rapat, termasuk hubungan seksual, dengan individu yang mempunyai simptom. Pada masa ini, kebanyakan kes berlaku pada lelaki yang gay atau biseksual" kata UKHSA.

David Heymann, profesor epidemiologi penyakit berjangkit di London School of Hygiene and Tropical Medicine, berkata, "Adalah penting untuk tidak membuat kesimpulan atau meletakkan stigma kepada kumpulan atau individu tertentu."

"Walaupun risiko keseluruhan kelihatan kecil, semua orang harus terus berwaspada kerana agensi kesihatan awam berusaha untuk membendung wabak ini kerana cacar monyet berpotensi menjejaskan sesiapa sahaja yang terdedah dengan hubungan rapat dengan seseorang yang dijangkiti," kata Heymann.-BERNAMA


(Terdapat 504 kes yang disahkan di England, 13 di Scotland, dua di Ireland Utara, dan lima di Wales)

Media Baharu