fb fb fb fb fb

Suspek mengaku tanam mayat wartawan British dan pengkaji Orang Asli Amazon di tengah hutan

BRASILIA, 16 Jun- Seorang daripada dua lelaki yang ditahan dipercayai ada kaitan dengan kehilangan wartawan British dan pakar orang asli di Amazon Brazil mengaku telah menguburkan pasangan itu di dalam hutan.

Polis dalam kenyataan menyebut, Dom Phillips dan pemandunya Bruno Pereira hilang pada 5 Jun di bahagian terpencil di Amazon yang terkenal dengan aktiviti jenayah alam sekitar termasuk perlombongan haram, pembalakan serta pengedaran dadah.

Polis tidak menyatakan sama ada suspek, Amarildo da Costa de Oliveira, turut mengaku membunuh pasangan itu, dengan hanya mengatakan bahawa dia "menceritakan secara terperinci jenayah yang dilakukan dan menunjukkan tempat dia mengebumikan mayat."

Eduardo Alexandre Fontes, ketua polis persekutuan di Amazonas Brazil, berkata semasa sidang akhbar bahawa polis mengalami kesukaran untuk sampai ke lokasi dua mayat itu dikubur.

"Sebaik sahaja kami dapat mengesahkan dengan bantuan kepakaran bahawa ia sememangnya jenazah Dom Phillips dan Bruno Pereira, mereka akan dikembalikan kepada keluarga mereka."

Terdahulu, Oliveira telah dibawa oleh polis ke tapak pencarian di sepanjang Sungai Itaquai, kata laporan media.

"Saya baru dimaklumkan bahawa mayat manusia ditemui di tempat penggalian dijalankan," kata Menteri Kehakiman Anderson Torres di Twitter.

Suspek lain, seorang lelaki yang dilaporkan sebagai abang kepada Oliveira, Oseney da Costa Oliveira, telah ditangkap pada hari Selasa di Atalaia do Norte, bandar kecil utara yang Phillips dan Pereira kembali ketika mereka hilang di Lembah Javari terpencil selepas menerima ancaman dalam perjalanan.

Amarildo ditahan pada 7 Jun lalu. Kedua-dua suspek berusia 41 tahun.

Phillips, 57, penulis veteran The Guardian dan akhbar antarabangsa terkemuka lain, sedang mengusahakan sebuah buku mengenai pembangunan mampan di Amazon.

Manakala Pereira, 41, seorang peguam bela yang sangat dihormati orang asli di rantau itu bertindak sebagai pemandu arahnya semasa bercuti dari kerjanya dengan agensi hal ehwal orang asli kerajaan Brazil (FUNAI).-AFP

 


(Pegawai Polis Persekutuan Brazil mengiringi suspek berkaitan kehilangan wartawan Britain Dom Phillips
dan pakar pribumi Bruno Pereira di Atalaia do Norte, Amazonas/REUTERS)

Media Baharu