RIYADH, 31 Oktober- Riyadh Air, syarikat penerbangan kebangsaan baru Arab Saudi, merancang untuk memesan pesawat bersaiz lebar (wide-body) yang mampu menampung lebih daripada 300 penumpang tahun depan, menurut Ketua Pegawai Kewangannya, Adam Boukadida.
Tempahan tersebut akan menjadi yang ketiga bagi syarikat yang ditubuhkan tahun lepas itu dengan penerbangan pertama dijangka bermula pada musim panas 2025.
Boukadida menyatakan mereka akan melaksanakan RFP (Request for Proposal) untuk pesawat ultra wide-body daripada pembekal utama seperti Boeing dan Airbus.
Syarikat itu baru-baru ini menandatangani perjanjian bernilai berbilion dolar untuk 60 pesawat narrow-body Airbus A321neo, menambah kepada tempahan sedia ada dengan Boeing untuk 39 Dreamliner 787-9s, yang mempunyai kapasiti kurang daripada 300 penumpang, serta pilihan untuk 33 lagi pesawat.
Menerusi sokongan Putera Mahkota Mohammed Salman, penerbangan dijadikan elemen penting dalam agenda "Visi 2030" Saudi untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada minyak.
Syarikat itu menyasarkan lebih 100 laluan penerbangan menjelang 2030 dan sehingga 120 laluan pada 2035.
Boukadida juga mengumumkan kemudahan kredit bergilir bernilai hingga 5 bilion riyal Saudi dengan lapan institusi kewangan dari Saudi dan rantau Teluk, yang bertujuan untuk menyokong pertumbuhan syarikat hingga 2030.-AFP