NEW HAMPSHIRE, 11 Januari- Ribut musim sejuk kuat yang melanda seluruh Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) menyebabkan bekalan elektrik terputus, penerbangan terhenti dan beberapa bandar dilanda banjir.
Lebih 50 juta orang dari timur Ohio sehingga melalui Mid-Atlantic dan ke Timur Laut berada di bawah amaran angin kencang dan banjir pada Rabu, kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
Banjir melanda beberapa bandar pantai New England termasuk Hampton Beach, New Hampshire dan rakaman video yang disiarkan di media sosial menunjukkan jalan-jalan dipenuhi air sehingga menenggelamkan kenderaan menyebabkan pegawai di bandar pantai yang mempunyai 2,500 orang mengisytiharkan kecemasan dan mengarahkan pemindahan penduduk.
"Kecemasan telah diisytiharkan akibat banjir," kata Jabatan Polis Hampton pada X. "Jika anda tinggal di kawasan itu kami mengesyorkan anda meninggalkan kawasan itu buat sementara waktu ke tempat yang lebih tinggi."
Bandar-bandar utama seperti New York, Philadelphia dan Boston juga dijangka menyaksikan tiupan lebih 50 batu (80 km) sejam yang berpotensi menumbangkan pokok dan mengganggu bekalan elektrik.
Kira-kira 300,000 rumah dan perniagaan dari North Carolina ke Maine terputus bekalan elektrik pada petang Rabu, lapor Poweroutage.us.
Ribut itu juga menyebabkan lebih 1,200 penerbangan ditangguhkan atau dibatalkan setakat petang Rabu, termasuk lebih 270 penerbangan masuk dan keluar dari Chicago, menurut Flightaware.com.
Ribut itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kematian di Alabama, Carolina Utara dan Georgia, di mana angin kencang dan beberapa puting beliung melanda bahagian Selatan, menurut pihak berkuasa dan laporan media tempatan.
Dua pemandu kenderaan turut terbunuh di Wisconsin dan Michigan, di mana salji tebal turun merentasi wilayah itu, menyebabkan keadaan pemanduan yang berbahaya, lapor media tempatan.
Ribut musim sejuk yang berasingan dijangka berterusan pada siang hari di Barat Laut Pasifik, di mana banyak komuniti di kawasan yang lebih tinggi dijangka mengalami keadaan seperti ribut salji.- REUTERS