KIEV, 5 September – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy berkata ribuan tentera asing mungkin dihantar ke negaranya sebagai sebahagian daripada jaminan keselamatan pascaperang.
Zelenskiy menegaskan perkara itu masih di peringkat awal perbincangan selepas bertemu Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa di Ukraine barat.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mendedahkan 26 negara telah berikrar memberi jaminan keselamatan, termasuk pasukan darat, laut dan udara.
Namun, sebahagian negara hanya akan menyokong dari luar dengan melatih serta melengkapkan tentera Kiev.
Presiden Rusia, Vladimir Putin pula memberi amaran bahawa sebarang tentera Barat yang dihantar ke Ukraine akan menjadi sasaran sah Moscow. -REUTERS