YANGON, 5 September – Bekas pemimpin Myanmar yang dipenjara, Aung San Suu Kyi dilaporkan mengalami masalah jantung serius dan memerlukan rawatan segera, kata anaknya, Kim Aris, sambil menggesa pembebasan ibunya daripada tahanan tentera yang disifatkan sebagai “kejam dan mengancam nyawa.”
Suu Kyi, 80, ditahan sejak rampasan kuasa tentera 2021 dan kini menjalani hukuman penjara 27 tahun atas tuduhan hasutan, rasuah serta penipuan pilihan raya, yang dinafikan beliau.
Aris berkata ibunya telah meminta rawatan pakar kardiologi sebulan lalu, namun tidak pasti sama ada permintaan itu dipenuhi.
“Saya amat bimbang. Tanpa pemeriksaan perubatan yang sewajarnya, mustahil untuk mengetahui keadaan sebenar jantungnya,” katanya kepada Reuters dari London.
Beliau turut mendakwa ibunya mengalami masalah tulang, gusi, serta kemungkinan cedera dalam gempa bumi pada Mac lalu yang mengorbankan lebih 3,700 orang.
Tentera Myanmar belum memberikan sebarang maklum balas berhubung dakwaan itu.
Sejak pengambilalihan tentera pada 2021, Myanmar terus bergolak dengan tunjuk perasaan besar-besaran yang ditindas secara ganas, mencetuskan pemberontakan bersenjata di seluruh negara. -REUTERS