fb fb fb fb fb

Ribuan rakyat indonesia bantah pemotongan belanjawan kerajaan Prabowo

Foto Reuters

JAKARTA, 23 Februari - Ribuan rakyat Indonesia mengadakan demonstrasi di seluruh negara pada Jumaat bagi membantah pemotongan belanjawan kerajaan Presiden Prabowo Subianto, bertujuan membiayai program makan percuma dan janji-janji besar lain dalam kempen pilihan raya.

Langkah penjimatan yang diumumkan Prabowo pada akhir Januari mencetuskan gelombang protes mahasiswa di beberapa bandar besar Indonesia minggu ini, yang dipacu oleh gerakan media sosial dikenali sebagai "Indonesia Gelap" (#DarkIndonesia).

Presiden Prabowo mengarahkan pemotongan belanjawan bagi menjimatkan 306.7 trilion rupiah ($18.8 bilion) dalam perbelanjaan pejabat, majlis rasmi dan perjalanan kerja. Ini menyebabkan sesetengah penjawat awam terpaksa bekerja dalam keadaan bercahaya malap serta menghadapi langkah-langkah penjimatan tenaga yang ketat di pejabat.

Bekas jeneral itu, yang baru memegang jawatan presiden pada Oktober lalu, bercadang untuk mengumpul sekitar $46 bilion melalui pemotongan perbelanjaan dan pengambilan dividen daripada syarikat milik kerajaan.

Penganalisis berpendapat dana tersebut akan dialihkan kepada program seperti, pelan makan percuma bernilai $4.3 bilion untuk murid sekolah bagi menangani masalah kekurangan zat makanan dan dana kekayaan negara (sovereign wealth fund) yang baharu.

Seruan untuk menyertai protes anti-penjimatan meluas di media sosial minggu ini, disertai cadangan untuk mogok kerja pada hari Jumaat. Netizen menggunakan tanda pagar #IndonesiaGelap dan #DarkIndonesia untuk menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

Pada Jumaat, demonstrasi berlangsung di beberapa bandar besar termasuk Jakarta dan Surabaya di bawah gerakan "Indonesia Gelap".

Di Yogyakarta, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di pusat bandar untuk membantah pemotongan kerajaan.

Di Surabaya, Jawa Timur pula, ratusan mahasiswa dan aktivis NGO berpakaian hitam duduk di hadapan pejabat dewan bandar raya sambil memegang sepanduk bertulis "Nilai Buruk untuk Kabinet Gemuk" dan "Satu Presiden, Banyak Masalah", sementara pihak polis berkawal.

Pada Khamis, penunjuk perasaan membakar tayar berhampiran Istana Presiden di Jakarta sambil menuntut kerajaan mengkaji semula program makan percuma.

Mereka kemudian bertemu Setiausaha Negara Prasetyo Hadi, yang berjanji akan menyampaikan tuntutan mereka kepada kerajaan. - AFP

TETITIA YUSOFF