PARIS, 21 Februari - Polis Perancis akan memulakan pemeriksaan mengejut ke atas beg pelajar bagi mengesan pisau dan senjata lain di sekolah dan kawasan sekitarnya dalam usaha menangani peningkatan serangan ganas.
Menteri Pendidikan Elisabeth Borne pada Jumaat berkata, langkah itu akan berkuat kuasa pada musim bunga ini, menurut kenyataan Borne kepada penyiar BFMTV/RMC.
"Saya mahu kita dapat mengatur pemeriksaan beg secara berkala di pintu masuk sekolah, bersama dengan pihak prefek, pendakwa raya dan wakil sistem pendidikan," katanya.
Pemeriksaan tersebur akan dikendalikan polis, kerana guru dan kakitangan sekolah tidak dibenarkan menggeledah beg pelajar.
Dasar baharu itu diperkenalkan susulan peningkatan mendadak kes tikaman di sekolah.
Menurut Borne, pelajar yang didapati membawa senjata tajam di sekolah akan diwajibkan menghadiri majlis disiplin, dan kes tersebut akan dilaporkan kepada pihak pendakwa raya tanpa pengecualian.
Ketika ini, tindakan disiplin terhadap pelajar yang membawa senjata masih bergantung kepada budi bicara pengetua sekolah.
Awal bulan ini, seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun mengalami cedera parah selepas ditikam di sekolahnya di Bagneux, sebuah kawasan di barat daya Paris.
Di wilayah Seine-Saint-Denis, yang terkenal dengan kadar jenayah yang tinggi, pihak berkuasa telah menempatkan sekitar 100 anggota polis untuk mengawasi 20 sekolah menengah dan tinggi sejak awal bulan ini.
Langkah ini bertujuan untuk mencegah kejadian keganasan berulang, susulan beberapa siri insiden baru-baru ini, kata pihak berkuasa. - AFP