fb fb fb fb fb

Hanya 17.5% rakyat Jepun miliki pasport sah

Foto Reuters

TOKYO, 21 Februari - Hanya sekitar satu daripada enam rakyat Jepun memiliki pasport yang sah, dengan jumlah penduduk yang melancong ke luar negara semakin pulih tetapi masih belum mencapai tahap sebelum pandemik.

Kadar pemilikan pasport itu jauh lebih rendah berbanding rakyat Amerika Syarikat, dengan lebih 50% penduduk kini memiliki pasport, meningkat daripada sekitar 5% pada tahun 1990.

Sementara itu, di Korea Selatan kadar pemilikan pasport mencecah 60%, menurut pihak berkuasa di Seoul.

Menurut Kementerian Luar Jepun pada Khamis, sebanyak 21.6 juta pasport sah berada dalam edaran hingga Disember 2024 mewakili hanya 17.5% daripada keseluruhan penduduk Jepun.

Sebelum pandemik COVID-19, sekitar 25% rakyat Jepun memiliki pasport yang sah.

Pasport Jepun kini berkongsi kedudukan dengan pasport Korea Selatan sebagai pasport kedua terkuat di dunia selepas Singapura, membolehkan pemegangnya memasuki 190 destinasi tanpa visa, berdasarkan Henley Passport Index tahun ini.

Sementara itu, Jepun kini menyaksikan rekod kemasukan pelancong asing, dengan lebih 36 juta pelawat direkodkan tahun lalu, kebanyakannya mengunjungi destinasi popular seperti Kyoto. - AFP

TETITIA YUSOFF