BUENOS AIRES, 28 September -Ribuan rakyat Argentina berhimpun dalam tunjuk perasaan bagi menuntut keadilan atas kematian tiga wanita yang diseksa dan dibunuh secara langsung di media sosial.
Ahli keluarga mangsa memegang sepanduk yang tertera nama beserta plakad bergambar wajah mangsa ketika berarak dalam himpunan itu. "Ini adalah femisida narco!" "Nyawa kami bukan barang buangan!"
Mayat Morena Verdi dan Brenda del Castillo, masing-masing berusia 20 tahun, serta Lara Gutierrez, 15 tahun, ditemukan tertanam di halaman sebuah rumah di pinggir selatan Buenos Aires pada Rabu, lima hari selepas mereka dilaporkan hilang.
Kes jenayah yang dipercayai melibatkan kumpulan dadah itu dilakukan secara langsung di Instagram dan ditonton oleh 45 ahli akaun peribadi, menurut pihak berkuasa.
Mangsa dipercayai telah diumpan untuk ke parti dengan menaiki sebuah van pada 19 September, kata penyiasat.
Menteri Keselamatan Javier Alonso berkata, polis menemui rakaman video tersebut selepas salah seorang suspek mendedahkannya ketika soal proses siasat.
Dalam rakaman itu, ketua geng kedengaran berkata: "Ini akibatnya kepada yang mencuri dadah dari saya."
Media Argentina melaporkan mangsa telah dipotong jari, dicabut kuku, dipukul dan dicekik.
Syarikat Meta, pemilik Instagram bagaimanapun menafikan bahawa siaran langsung itu berlaku di platform mereka.
"Kami tidak menemui sebarang bukti siaran langsung berlaku di Instagram. Pasukan kami terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam siasatan jenayah mengerikan ini," kata jurucakap Meta kepada AFP. - AFP