NEW DELHI, 28 September- Sekurang-kurangnya 31 orang maut manakala lebih 50 lagi cedera dalam insiden rempuhan pada perhimpunan politik yang dihadiri pelakon terkenal Tamil, Vijay, di daerah Karur, Tamil Nadu.
Pegawai kanan polis, V. Selvaraj berkata, mangsa yang cedera kini menerima rawatan di hospital berhampiran.
Insiden itu berlaku ketika orang ramai membanjiri lokasi pertemuan dalam siri jelajah politik parti baharu Vijay, Tamilaga Vettri Kazhagam, menjelang pilihan raya negeri awal tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri, Senthil Balaji, memaklumkan sebanyak 58 mangsa dimasukkan ke hospital selepas berlaku rempuhan ketika orang ramai berpusu-pusu menghadiri perhimpunan tersebut.
Beliau menambah, Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin, dijadual melawat kawasan berkenaan esok.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam satu hantaran di X, menyifatkan kejadian itu sebagai sangat menyedihkan.
Pihak berkuasa kesihatan negeri Tamil Nadu dan pejabat Ketua Menteri masih belum memberikan sebarang maklum balas rasmi setakat ini. -REUTERS