BEIRUT, 28 September- Setahun selepas kematian bekas pemimpinnya, Hassan Nasrallah, kumpulan Hezbollah berhimpun memperingati tokoh yang pernah menerajui organisasi itu lebih tiga dekad.
Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem menegaskan, kumpulan itu tidak akan tunduk pada desakan melucutkan senjata.
Malah, bersedia berdepan konfrontasi yang disifatkan sebagai pertempuran penentu kelangsungan mereka.
Ribuan penyokong memenuhi kubu kuat Hezbollah di Beirut selatan serta selatan dan timur Lubnan.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Iran, Ali Larijani, yang menzahirkan solidariti terhadap kumpulan itu.
Nasrallah terbunuh pada 27 September 2024 selepas siri serangan udara Israel meranapkan kompleks Hezbollah di Beirut selatan.
Kematian beliau disusuli perang berbulan-bulan yang melemahkan organisasi tersebut, termasuk kehilangan pengganti terdekat, Hashem Safieddine, beberapa minggu kemudian.
Tekanan antarabangsa semakin meningkat agar Hezbollah meletakkan senjata.
Namun, kumpulan itu menegaskan perjuangan mereka akan diteruskan biarpun Lubnan masih bergelut dengan kesan peperangan. -REUTERS