SAN FRANCISCO, 11 Januari- Lebih daripada 3,000 penerbangan dibatalkan pada Jumaat dan ribuan lagi mengalami kelewatan akibat ribut di selatan Amerika Syarikat, lapor syarikat penerbangan dan laman sesawang FlightAware.
Delta Airlines memaklumkan bahawa cuaca musim sejuk yang lebih buruk daripada jangkaan memaksa penutupan kelima-lima landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Atlanta selama lebih dua jam.
Menurut syarikat penerbangan itu, Delta membatalkan kira-kira 1,100 penerbangan pada Jumaat dan ia sedang berusaha memulihkan operasinya menjelang Sabtu.
Dalam pada itu, sebuah pesawat Delta terpaksa membatalkan perjalanan di Atlanta akibat masalah enjin.
Lebih 200 penumpang dan anak kapal dalam pesawat Boeing 757-300 terpaksa keluar melalui gelongsor kecemasan, lapor media AS memetik kenyataan syarikat.
Menurut FlightAware, Lapangan Terbang Dallas Fort Worth (Texas) dan Charlotte Douglas (North Carolina) turut terjejas akibat cuaca buruk, dengan lebih 1,200 penerbangan dibatalkan di kedua-dua lapangan terbang itu.
Amerika Syarikat dilanda ribut musim sejuk pada awal minggu, menyebabkan sekurang-kurangnya lima orang terkorban dan ratusan penerbangan dibatalkan apabila ribut melanda bahagian tengah dan timur negara itu.-AFP