fb fb fb fb fb

Jepun beri Indonesia bot peronda berkelajuan tinggi, perkukuh keselamatan

Presiden Indonesia dan Perdana Menteri Jepun menyampaikan kenyataan media selepas pertemuan di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat/ AFP

BOGOR, 11 Januari- Jepun akan memberikan Indonesia dua bot peronda berkelajuan tinggi ketika Tokyo berusaha memperkukuh kerjasama keselamatan maritim serantau berikutan ketegasan China yang semakin meningkat.

Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba membuat ikrar tersebut semasa mengadakan perbincangan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengenai pelbagai isu dua hala, dalam lawatannya ke Jakarta.

"Kami bersetuju untuk mewujudkan rundingan pertahanan mengenai keselamatan maritim kami, termasuk kerjasama teknikal peralatan pertahanan," kata Ishiba dalam satu kenyataan bersama.

"Kami juga bersetuju untuk menyediakan bot peronda berkelajuan tinggi melalui bantuan keselamatan rasmi (Official Security Assistance), yang merupakan bantuan pertama kami kepada Indonesia", katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama dalam sektor tenaga rendah karbon seperti tenaga geoterma, hidrogen, ammonia dan biofuel.

Sebelum tiba di Jakarta, Ishiba mengadakan perbincangan di Kuala Lumpur dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Bagi dasar luar kami, memperkukuh kerjasama dengan Asia Tenggara adalah salah satu keutamaan terbesar," kata Ishiba.

Dengan sokongan Amerika Syarikat yang berusaha mengekang pengaruh China, Jepun telah meningkatkan hubungan keselamatan di rantau ini.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, walaupun keputusan antarabangsa pada 2016 menyatakan tuntutan itu tidak mempunyai asas undang-undang.

Tokyo telah membekalkan peralatan dan bantuan lain kepada Filipina, yang terlibat dalam pertikaian wilayah dengan Beijing.

Tahun lalu, Filipina telah meratifikasi perjanjian pertahanan utama dengan Jepun yang membolehkan kedua-dua negara menghantar tentera ke wilayah masing-masing.

Lawatan ke Malaysia dan Indonesia ini merupakan lawatan rasmi pertama Ishiba sejak memegang jawatan pada Oktober lalu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN