fb fb fb fb fb

Ribuan penduduk Honduras berarak protes antikerajaan

Ribuan rakyat Honduras berarak di ibu negara bagi membantah kerajaan/FOTO AFP

TEGUCIGALPA,12 November- Ribuan rakyat Honduras turun ke jalanan di ibu negara tersebut sebagai tanda protes terhadap kerajaan pimpinan Presiden Xiaomora Castro, pemimpin berhaluan kiri.

Dalam demonstrasi yang ditaja oleh parti pembangkang itu, para penunjuk perasaan menuduh kerajaan Castro cuba mengubah Honduras melalui pemilihan penjawat awam secara tidak telus.

Menurut David Chavez, Presiden sayap kanan Parti kebangsaan berkata protes tersebut dilakukan bagi mempertahankan demokrasi di negara Amerika Tengah tersebut selain menghalang Castro menjadi diktator.

"Kami di sini cuba untuk mempertahankan demokrasi kerana kami tidak ingin diktator di Honduras seperti yang terjadi di Cuba, Venezuela dan Nicaragua, kata Chavez kepada pemberita pada Sabtu.

Lebih 10,000 orang berkumpul di ibu negara, Tegucigalpa dan berarak tanpa sebarang insiden. Namun, jumlah sebenar yang terlibat enggan didedahkan oleh kerajaan Honduras.

Protes tercetus setelah parti pimpinan Castro melantik ketua pendakwa raya baharu tanpa melalui undi Kongres.

Parti pimpinan Castro, Libre didakwa berpakat dengan penggubal undang-undang bagi menggunakan undian jawatankuasa bagi memperoleh majoriti bagi mendapatkan pencalonan.

Pihak pembangkang mendakwa tindakan tersebut tidak mengikut perlembagaan kerana mereka yang dilantik hanyalah mewakili minoriti di dalam Kongres negara itu.

Perlembagaan Honduras menetapkan bahawa 86 undi daripada 128 anggota badan perundangan tunggal diperlukan untuk memilih peguam negara, tetapi ia juga memberi kuasa kepada jawatankuasa untuk memilih ketua pendakwa sementara jika terdapat kekosongan jawatan tersebut.

Castro, yang mengangkat sumpah sebagai presiden wanita pertama Honduras pada Januari 2022 dan menggambarkan dirinya sebagai sosialis demokratik, telah berusaha bagi mengukuhkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Cuba, Venezuela dan Nicaragua.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD