fb fb fb fb fb

Kejam... hospital, kediaman penduduk Palestin terus jadi sasaran tentera Israel

Serangan udara Israel ke atas kawasan kejiranan di kem pelarian al-Maghazi, Gaza/AFP

GAZA, 11 November - Israel lancar serangan udara ke atas bangunan kediaman di Khan Yunis, selatan Gaza dan kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, mengakibatkan beberapa orang terkorban dan cedera dalam kalangan orang awam Palestin, petang semalam.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA melaporkan Rejim zionis terus membedil tanpa henti di sekitar hospital di Bandar Gaza.

Menurut laporan tersebut, lima orang awam terbunuh dan yang lain cedera apabila serangan udara Israel melanda rumah penduduk di kawasan Tahlia di Khan Yunis. Selain itu, seorang wanita dilaporkan terbunuh dalam serangan di pusat bandar Khan Yunis.

Dalam kejadian lain, sejumlah mangsa dilaporkan cedera, ketika pesawat perang Israel menyasarkan sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

Selain itu, serangan udara Israel turut memusnahkan sepenuhnya sebuah bangunan kediaman empat tingkat di kawasan Sheikh Nasser, timur Khan Yunis.

Keadaan bertambah buruk apabila Israel memperhebat serangan ke atas hospital.

Hospital dan persekitarannya terus menjadi sasaran utama pencerobohan Israel. Hospital Indonesia di Beit Lahia, utara Gaza, menyaksikan serangan udara Israel, termasuk Kompleks Perubatan Al-Shifa dan sekitarnya di barat Bandar Gaza.

Bulan Sabit Merah Palestin melaporkan kereta kebal dan kenderaan tentera Israel mengepung Hospital Al-Quds, di Bandar Gaza. Bangunan hospital bergegar akibat tembakan berterusan, menyebabkan panik dalam kalangan pesakit dan penduduk yang berpindah yang mencari perlindungan.

Doctors Without Borders memaklumkan bahawa hospital Gaza menghadapi serangan udara tanpa henti sejak 24 jam yang lalu, kakitangan perubatan dan pesakit masih berada di dalam hospital terlibat.

ROSLINA BINTI DIN