fb fb fb fb fb

Ribuan orang bantah rancangan imigresen kerajaan Perancis

(Foto AFP)

PARIS, 30 April- Ribuan orang termasuk pendatang tanpa izin, berarak di Paris dan bandar-bandar lain di Perancis, semalam.

Mereka membantah perubahan undang-undang imigresen dan program pengusiran dari pulau Mayotte di Lautan Hindi.

Di Paris lebih 2,300 orang berarak termasuk membawa sepanduk yang mengandungi mesej anti pengusiran dan penindasan.


(Ribuan orang bantah rancangan imigresen kerajaan Perancis/AFP)

"Rang undang-undang imigresen, yang baru sahaja ditangguhkan oleh kerajaan sehingga musim luruh, adalah undang-undang perkauman, yang bertujuan untuk 'menjenayahkan' warga asing" dan membawa kepada lebih banyak pengusiran", kata Aboubacar, 31, seorang warga Mali yang tidak mempunyai dokumen.

Manakala di Rennes lebih 1500 peserta turun ke jalan raya sebagai solidariti terhadap pendatang Comoro.

Naib presiden Liga Hak Asasi Manusia Perancis dan bekas ahli parlimen Eropah, Marie-Christine Vergiat mengecam layanan terhadap pendatang Comoro dari pulau Mayotte apabila mereka ditempatkan di pondok yang kotor.

Rang undang-undang kontroversi itu, bertajuk "Mengawal imigresen sambil meningkatkan integrasi", antaranya bertujuan untuk menyediakan skop yang lebih besar untuk pengusiran, terutama bagi warga asing yang melakukan jenayah.

Ia memerlukan tahap minimum bahasa Perancis sebelum permit kediaman selama beberapa tahun diberikan, memperkenalkan cap jari mandatori dan mengetatkan keperluan untuk pembaharuan permit jangka panjang.

Rabu lalu, kerajaan Perancis sekali lagi gagal mencapai kata sepakat mengenai rang undang-undang imigresen, yang dianggap terlalu memecahbelahkan iklim sosial.- AFP

Media Baharu