LONDON, 18 September – Ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di ibu kota Britain membantah lawatan bersejarah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara itu.
Perarakan anjuran Stop Trump Coalition itu turut mendapat sokongan kumpulan hak asasi seperti Amnesty International, badan wanita Abortion Rights dan aktivis proPalestin.
Penunjuk perasaan berhimpun di Portland Place berhampiran ibu pejabat BBC sebelum berarak menuju bangunan Parlimen sambil membawa plakad anti-Trump dan bendera Palestin.
“Ia menjijikkan, Trump tidak sepatutnya dialu-alukan di London kerana menyokong Israel,” kata Rihanna Williams, 26, seorang jurukamera filem.
Seorang lagi peserta, Ella Reilly, 23, berkata pemimpin dunia terlalu banyak melakukan perkara buruk dan rakyat perlu bangkit menyuarakan bantahan.
Sementara itu, malam sebelum ketibaan Trump, sekumpulan penunjuk perasaan memancarkan imej beliau bersama pesalah seks Jeffrey Epstein di dinding istana kira-kira 40 kilometer dari London.
Empat individu ditahan berhubung insiden itu. -REUTERS