fb fb fb fb fb

Republik Czech lupus lebih 70,000 ekor unggas akibat wabak selesema burung

Foto AFP

PRAGUE, 12 November – Pihak berkuasa veterinar Republik Czech memulakan proses pelupusan lebih 70,000 ekor unggas ternakan selepas mengesan kes wabak selesema burung di dua ladang komersial, menurut kenyataan rasmi pada Rabu.

Jurucakap Pentadbiran Veterinar Negara (SVS), Petr Majer berkata kerja-kerja pelupusan dilakukan oleh anggota bomba bersama pekerja ladang menggunakan bekas berisi gas karbon dioksida.

“Proses pelupusan bermula pagi tadi,” katanya kepada AFP, sambil menambah bahawa tindakan itu dilakukan bagi mengekang penularan penyakit berjangkit itu.

Wabak pertama dikesan pada pagi Selasa di kampung Valdikov di selatan negara itu, melibatkan 18,000 anak itik berusia seminggu dan 2,500 ekor itik dewasa.

Majer berkata kerja pelupusan akan diteruskan pada Khamis di sebuah ladang di bandar Lanskroun, tengah Republik Czech, yang menempatkan 40,000 ekor ayam betina dan 13,000 ekor ayam jantan.

SVS turut mengumumkan langkah pencegahan khas dalam lingkungan 10 kilometer dari kawasan terjejas termasuk sekatan pergerakan unggas, pendaftaran semua ladang ternakan dan larangan penganjuran pameran atau pertukaran burung.

Setakat tahun ini, Republik Czech merekodkan tiga ladang komersial dan 17 ladang kecil dijangkiti wabak tersebut, selain kes yang dikesan dalam kalangan burung liar di lapan lokasi.

Pada tahun lalu, lebih 250,000 ekor unggas telah dilupuskan apabila penyakit itu merebak ke 10 ladang besar dan 43 ladang kecil di seluruh negara. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN