(Seorang pemain dan penyokong membantu mangsa rempuhan di Stadium Cuscatlan
di San Salvador/AFP)
SAN SALVADOR, 22 Mei- Pihak berkuasa El Salvador menyalahkan pasaran gelap yang menjual tiket berlebihan sebagai punca berlakunya tragedi rempuhan berdarah di Stadium Cuscatlan yang meragut 12 penyokong bola sepak pada Sabtu.
Menteri Dalam Negeri, Juan Carlos Bidegain berkata, siasatan awal mendapati, penyokong telah dikesan mendapat tiket palsu dan dibenarkan masuk hingga berlakunya rempuhan berkenaan yang turut mencederakan kira-kira 500 lagi.
"Kami percaya pihak yang harus dipertanggungjawabkan adalah pihak yang menjual tiket, yang menjual ia tanpa kawalan ketat.
"Penyokong ada menunjukkan mereka menerima tiket palsu dan dibenarkan masuk. Ada juga mendakwa terdapat penjualan berlebihan (tiket) di pasaran gelap," katanya dalam sidang media di sini.
Tambah Bidegain, Presiden Nayib Bukele telah mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan supaya mereka yang bertanggungjawab harus dihukum dan siasatan perlu melibatkan semua pihak termasuk pasukan, pengurus, pihak stadium, liga dan persekutuan.
Insiden berkenaan berlaku ketika para penyokong berpusu-pusu cuba memasuki Stadium Cuscatlan di sini untuk menonton perlawanan kejohanan tempatan antara pasukan Alianza dan FAS.
Rempuhan itu terjadi selepas 10 minit perlawanan dan terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan dengan pemain dilaporkan turut menyertai usaha menyelamat.
Salah seorang mangsa yang terselamat, Sandra Guzman, 40, yang cedera di lutut kiri mengakui amat trauma dengan kejadian itu dan berkata, ia adalah "pertama dan terakhir" dia akan kembali ke stadium.
"Saya berada di pintu pagar stadium, orang ramai menolak saya masuk, saya tiada ruang langsung untuk berpatah balik. Sekumpulan besar orang kemudian menimpa saya. Saya tidak boleh bernafas, mereka mencekik saya.
"Saya pengsan, dan apabila saya bangun saya berada di hospital," katanya. -AFP
(Juan Carlos Bidegain/AFP)
Artikel berkaitan:
Sembilan maut rempuhan di stadium El Salvador
Rempuhan stadium el Salvador: "Semua pihak akan disiasat" - Bukele