fb fb fb fb fb

Zakir Hussain, maestro tabla India meninggal dunia

Zakir Hussain, meninggal dunia pada usia 73 tahun akibat komplikasi penyakit paru-paru kronik / Foto Reuters

MUMBAI, 16 Disember – Maestro tabla India, Zakir Hussain yang terkenal dengan gelaran pemilik ‘jari menari’ dan dianggap antara pemain tabla terbaik dunia, meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Hussain menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di San Francisco akibat komplikasi penyakit paru-paru kronik, menurut kenyataan keluarganya.

Beliau dikenali sebagai individu berbakat besar dengan persembahan solo yang memukau serta kerjasama bersama pemuzik antarabangsa ternama seperti George Harrison daripada kumpulan The Beatles.

Hussain telah dicalonkan untuk tujuh anugerah Grammy sepanjang kariernya dan memenangi empat daripadanya, termasuk tiga kemenangan pada tahun ini, menurut laman web rasmi Grammy.

Selain itu, beliau turut menerima Sangeet Natak Akademi Award, anugerah tertinggi India untuk seni persembahan.

Dalam sebuah biografi pada 2018, Hussain berkata, "Apa yang saya bawa ke dunia tabla? Saya fikir ia adalah keterbukaan dan kejelasan...penyataan muzik anda mesti dihasilkan dengan sejelas mungkin."

Anak sulung kepada legenda tabla Ustad Alla Rakha, Hussain memulakan kerjaya profesionalnya seawal usia 12 tahun dengan mengiringi pemuzik klasik India.

Menjelang usia 18 tahun, beliau telah memulakan jelajah antarabangsa dan bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri muzik seperti pemain drum Grateful Dead, Mickey Hart; pemain cello Yo-Yo Ma; pemuzik jazz Herbie Hancock; serta pemain gitar virtuoso John McLaughlin.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut memberi penghormatan kepada maestro itu.

Dalam satu hantaran di platform X, beliau berkata, “Beliau akan dikenang sebagai seorang genius sejati yang merevolusikan dunia muzik klasik India.

Beliau juga membawa tabla ke pentas global, memikat jutaan hati dengan irama yang tiada tandingan.”

Zakir Hussain akan terus dikenang sebagai seorang legenda yang meninggalkan impak mendalam terhadap muzik klasik India dan dunia.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN