fb fb fb fb fb

Remaja Australia didakwa seludup senjata & cuba ceroboh pesawat

Tangkap layar rakaman oleh Channel Nine Australia menunjukkan seorang remaja lelaki memakai jaket hijau terang, serupa dengan seragam kakitangan lapangan terbang ditahan oleh seorang penumpang dan juruterbang

SYDNEY, 7 Mac- Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Australia pada Jumaat atas tuduhan membahayakan keselamatan penerbangan selepas cuba menyelinap masuk ke dalam pesawat Jetstar bersama selaras senapang patah dan peluru, menurut polis Victoria.

Insiden itu berlaku pada petang Khamis apabila suspek didakwa merangkak melalui lubang di pagar keselamatan di Lapangan Terbang Avalon, kira-kira 60 kilometer barat daya Melbourne.

Dia bagaimanapun berjaya ditahan oleh penumpang yang bertindak memegangnya di lantai pesawat yang membawa kira-kira 160 penumpang dalam penerbangan menuju ke Sydney.

Remaja itu kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk membahayakan keselamatan pesawat, mengambil alih pesawat secara tidak sah, memiliki senjata api serta ancaman bom, kata Polis Victoria dalam satu kenyataan.

Polis turut menemui dua beg dan sebuah kenderaan milik suspek.

Menurut Ketua Polis Superintenden Michael Reid, pihaknya telah berhubung dengan unit siasatan anti-keganasan namun masih terlalu awal untuk menentukan motif kejadian.

“Ini pastinya pengalaman yang menakutkan bagi penumpang dan kami memuji keberanian mereka yang membantu menahan suspek,” katanya.

Rakaman insiden yang disiarkan Channel Nine Australia menunjukkan seorang remaja lelaki memakai jaket hijau terang, serupa dengan seragam kakitangan lapangan terbang ditahan oleh seorang penumpang dan juruterbang.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE