fb fb fb fb fb

Banduan AS bakal dihukum tembak, pertama sejak 15 tahun

Brad Sigmon dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya, Rebecca Barbare, menggunakan kayu besbol di Greenville County pada tahun 2001

SOUTH CAROLINA, 7 Mac- Brad Sigmon bakal menjadi banduan pertama di Amerika Syarikat sejak 15 tahun lalu yang dihukum mati melalui skuad penembak pada Jumaat ini.

Sigmon dijatuhkan hukuman mati atas kesalahan membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya, Rebecca Barbare, menggunakan kayu besbol di Greenville County pada tahun 2001. Hukuman akan dijalankan di Jabatan Penjara South Carolina, kira-kira 160 kilometer dari lokasi kejadian.

Peguamnya, Gerald "Bo" King, sebelum ini memohon Mahkamah Agung South Carolina menangguhkan hukuman bagi membolehkan Sigmon menyemak jenis ubat yang digunakan dalam suntikan maut, namun permohonan itu ditolak pada Selasa lalu.

Rabu lalu, King turut mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung AS dan masih menunggu keputusan.

Menurut King, Sigmon memilih hukuman tembak kerana bimbang kerusi elektrik dan suntikan maut tidak akan menyebabkan kematian serta-merta memandangkan tiada maklumat lengkap mengenai proses itu.

Harapan terakhir Sigmon kini terletak pada Gabenor Republikan South Carolina, Henry McMaster, yang berkuasa mengubah hukuman mati kepada penjara seumur hidup, satu keputusan yang mungkin hanya dibuat saat akhir sebelum hukuman dijalankan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE