fb fb fb fb fb

FBI tahan askar AS, didakwa jual maklumat sulit kepada China

Foto Reuters

WASHINGTON, 7 Mac – Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menahan seorang askar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis atas dakwaan menjual maklumat sulit kepada individu berpangkalan di China, menurut Jabatan Kehakiman AS.

Suspek, Jian Zhao, seorang sarjan bekalan tentera yang masih berkhidmat dan bertugas di sebuah pangkalan tentera di Washington, didakwa mengumpul pemacu keras serta komputer sulit milik kerajaan AS sebelum menjualnya kepada individu yang tidak dinyatakan di China.

Menurut siasatan, aktiviti kecurian itu bermula pada Julai 2024, dengan Zhao menerima sekurang-kurangnya AS$15,000 sebagai bayaran bagi maklumat yang diberikan.

Sehubungan itu, Zhao telah didakwa oleh panel juri atas tuduhan berkomplot untuk mendapatkan dan menghantar maklumat pertahanan negara kepada individu yang tidak dibenarkan, selain berdepan pertuduhan rasuah serta kecurian harta kerajaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Zhao bersama rakan subahatnya “secara sedar dan secara haram telah berkomplot… untuk mendapatkan dan menghantar dokumen, tulisan, gambar, peralatan, alat, dan nota berkaitan pertahanan negara Amerika Syarikat kepada individu yang tidak berhak menerimanya.”

Selain Zhao, FBI turut menahan dua lagi suspek yang dikenal pasti sebagai askar aktif AS, Li Tian, dan bekas askar, Ruoyu Duan, atas tuduhan mencuri harta kerajaan serta menerima rasuah.

FBI mendakwa Tian mengumpul maklumat ketenteraan sensitif berkaitan keupayaan operasi Tentera Darat AS, khususnya mengenai sistem persenjataan tentera AS, sebelum menjualnya kepada Duan dengan jumlah bayaran yang tidak dinyatakan antara November 2021 hingga Disember 2024.

“Para tertuduh yang ditahan didakwa mengkhianati negara kita, secara aktif melemahkan keupayaan pertahanan AS dan memperkasakan musuh kita di China,” kata Peguam Negara AS, Pam Bondi, dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan kesemua tertuduh akan berdepan tindakan undang-undang yang tegas dan menyeluruh.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN