fb fb fb fb fb

Palestin berterima kasih kepada Afrika Selatan

Afrika Selatan penyokong teguh hak rakyat Palestin / Foto AFP

ISTANBUL, 15 November - Palestin memuji Afrika Selatan kerana menerima lebih 150 rakyatnya dari Semenanjung Gaza yang tidak dapat menyediakan dokumen yang diperlukan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pada Khamis, Afrika Selatan memberikan pengecualian visa 90 hari kepada 153 rakyat Palestin yang tiba dari Kenya untuk meminta perlindungan di negara itu, walaupun mereka pada awalnya dinafikan kemasukan kerana gagal melepasi temu bual yang diperlukan dan tidak mempunyai cap keluar seperti kebiasaan dalam pasport mereka.

“Kami menzahirkan penghargaan dan rasa hormat kami atas keputusan untuk memberikan visa kemasukan kepada sebilangan rakyat kami dari Semenanjung Gaza yang tiba di lapangan terbang Afrika Selatan dari Lapangan Terbang Ramon Israel melalui ibu negara Kenya, Nairobi, meskipun ketibaan mereka tanpa sebarang pemberitahuan awal atau penyelarasan dengan pihak berkuasa negara itu,” menurut Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan pada Jumaat malam.

Afrika Selatan, penyokong teguh hak rakyat Palestin, telah memfailkan kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague pada 29 Dis 2023, menuduh Israel, yang telah mengebom Gaza sejak Oktober 2023, gagal memenuhi komitmennya di bawah Konvensyen Genosid 1948.

Lebih 69,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 170,700 yang lain cedera dalam serangan genosid Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023. - BERNAMA-ANADOLU

FAUZIAH ABD RAHMAN