BAITULMAQDIS, 21 Oktober - Tidak cukup dengan pengeboman Hospital Al-Ahli yang mengorbankan lebih 500 rakyat Palestin, rejim zionis Israel mengancam untuk mengebom sebuah lagi hospital.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), tentera zionis mengancam untuk mengebom Hospital Al-Quds di Semenanjung Gaza.
PRCS berkata, hospital tersebut kini menempatkan lebih 400 pesakit selain menjadi tempat berlindung lebih 12,000 penduduk yang hilang tempat tinggal akibat serangan bertubi-tubi rejim yahudi itu.
Dalam hantaran di laman X, PRCS berkata 70 peratus penghuni merupakan kanak-kanak dan wanita yang berada dalam keadaan ketakutan.
PRCS menegaskan, agak mustahil untuk mereka mengosongkan hospital itu dalam tempoh yang singkat.
Malah PRCS turut mempersoal, adakah terdapat kuasa dunia lain yang mampu menghentikan ancaman Israel untuk membunuh nyawa orang awam di fasiliti kesihatan.
Kuasa besar dunia dan masyarakat antarabangsa dituntut bertindak segera menghalang misi pengeboman rejim kejam itu ke atas hospital berkenaan.
Sementara itu, Pasukan Palang Merah Palestin memaklumkan, menerima amaran sama daripada tentera zionis untuk mengosongkan Hospital Al-Quds.