SEOUL, 12 September - Ratusan pekerja Korea Selatan dipulangkan ke Seoul pada Jumaat selepas ditahan dalam serbuan imigresen di sebuah tapak pembinaan kilang bateri Hyundai-LG di Georgia, Amerika Syarikat, insiden yang dijangka melambatkan projek bernilai berbilion dolar itu.
Menurut Kementerian Luar Korea Selatan, seramai 316 rakyatnya bersama 14 pekerja asing diterbangkan pulang menggunakan pesawat sewa khas Korean Air dari Atlanta pada Khamis, selepas lebih 475 orang ditahan minggu lalu.
Kebanyakan mereka dipercayai bekerja dengan visa yang tidak membenarkan kerja pembinaan.
Seoul kini berunding dengan Washington bagi memastikan pengeluaran visa untuk tujuan pelaburan tidak terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai, Jose Munoz berkata kekurangan tenaga kerja akan melambatkan pembinaan kilang bateri itu sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan.
Projek bernilai AS$4.3 bilion itu adalah sebahagian daripada usaha AS menarik pelaburan dan pengeluaran domestik.
Kesatuan sekerja terbesar Korea (KCTU), mengecam tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump, menyifatkan tangkapan besar-besaran itu sebagai “pelanggaran hak asasi manusia” dan menuntut permohonan maaf rasmi.