fb fb fb fb fb

Foto suspek bunuh Charlie Kirk diedar

Suspek, seorang lelaki berbaju hitam berlengan panjang bergambar helang botak di atas bendera Amerika Syarikat, bersama cermin mata hitam dan topi besbol

UTAH, 12 September - Jabatan Keselamatan Awam Utah bersama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada Khamis mendedahkan beberapa foto tambahan individu yang dipercayai terlibat dalam kes tembakan maut aktivis konservatif berpengaruh, Charlie Kirk.

Menurut pihak berkuasa, suspek tiba di kampus hanya beberapa minit sebelum bermulanya debat terbuka anjuran Kirk bertajuk “Prove Me Wrong” di Universiti Valley Utah, Orem, pada Rabu lalu yang dihadiri lebih 3,000 orang.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang individu menaiki tangga ke bumbung bangunan sebelum melepaskan tembakan ke arah Kirk, yang ketika itu sedang menjawab soalan berkaitan isu tembakan rambang. Peluru mengenai lehernya, menyebabkan penonton bertempiaran lari dalam keadaan panik.

“Suspek kemudian melompat dari bumbung dan melarikan diri ke kawasan kejiranan berhampiran,” kata ejen khas FBI, Robert Bohls, dalam sidang media.

Bagi membantu siasatan, FBI menawarkan ganjaran AS$100,000 untuk maklumat yang membawa kepada penangkapan suspek.

Imej kabur dari kamera keselamatan turut diedarkan, menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam berlengan panjang bergambar helang botak di atas bendera Amerika Syarikat, bersama cermin mata hitam dan topi besbol gelap.

Pihak berkuasa Utah menyifatkan individu berkenaan sebagai suspek utama dalam kejadian itu.

Sementara itu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan detik suspek melarikan diri selepas insiden pada Rabu lalu.

Menurut FBI, video tersebut merakamkan suspek melompat dari bumbung sebuah bangunan sebelum melarikan diri sekitar pukul 12 tengah hari waktu Mountain.

“Suspek dilihat memanjat ke atas bumbung sebelum menembak mati Charlie Kirk. Selepas itu, dia melompat turun dan berlari meninggalkan lokasi,” jelas kenyataan FBI bersama rakaman berkenaan.

Pihak berkuasa turut menemui senjata api dan peluru ditinggalkan di kawasan hutan berhampiran universiti, manakala kesan bukti lain yang dikumpul di lokasi termasuk cap kasut, kesan lengan dan cap tapak tangan.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE