fb fb fb fb fb

Pengarah ‘The Shape of Water’, Guillermo del Toro jual koleksi peribadi

Sebanyak satu pertiga daripada koleksi memorabilia filem dan karya seni bakal dijual melalui tiga siri lelongan. / Foto REUTERS

TORONTO, 12 September - Pengarah tersohor Mexico, Guillermo del Toro, mengambil keputusan melelong sebahagian koleksi peribadi yang sarat dengan objek fantasi dan makhluk menyeramkan, elemen yang sering menjadi nadi karya filem gotiknya.

Langkah itu, kata del Toro, dibuat bukan sahaja kerana usianya yang kini mencecah 60 tahun, tetapi juga setelah menyaksikan sendiri kekerapan bencana alam, termasuk kebakaran hutan yang hampir memusnahkan koleksi berharga di Bleak House, kediamannya di Los Angeles.

Del Toro, yang terkenal dengan gabungan fantasi dan seram dalam karya seperti Pan’s Labyrinth dan The Shape of Water, berkata sebanyak 120 item sempat diselamatkan ketika api marak menghampiri rumahnya.

Itu merupakan kali ketiga Bleak House berdepan ancaman kebakaran, selain pernah terselamat daripada gempa bumi.

Sebanyak satu pertiga daripada koleksi memorabilia filem dan karya seni beliau bakal dijual melalui tiga siri lelongan bermula bulan ini.

Antara item berharga yang ditawarkan termasuk lakaran konsep filem Cronos (1992), figura asal makhluk amfibia dalam The Shape of Water, serta dua plat asal adaptasi Frankenstein oleh artis komik terkenal, Bernie Wrightson.

“Semua koleksi ini seperti anak-anak saya. Saya mahu pastikan ia pergi ke tempat yang baik,” katanya dalam satu wawancara di Toronto, di mana filem terbarunya Frankenstein dipertontonkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto. - REUTERS

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI