fb fb fb fb fb

Bantahan tolak referendum Presiden Noboa bertukar ganas di Ecuador

Bantahan disertai kumpulan Orang Asli CONAIE, Barisan Pekerja Bersatu (FUT), Kesatuan Pendidik Kebangsaan (UNE) dan beberapa organisasi lain. / Foto REUTERS

QUITO, 12 September - Perarakan kumpulan masyarakat sivil dan pekerja di Quito pada Khamis bertukar ganas apabila pasukan polis rusuhan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang membantah cadangan referendum Presiden Daniel Noboa.

Bantahan itu disertai kumpulan Orang Asli CONAIE, Barisan Pekerja Bersatu (FUT), Kesatuan Pendidik Kebangsaan (UNE) dan beberapa organisasi lain.

Mereka menuduh pentadbiran Noboa bersifat autoritarian dan gagal mengurus negara dengan berkesan.

Penunjuk perasaan mengecam perbelanjaan sebanyak AS$80 juta untuk referendum nasional, selain menuduh Noboa menekan Mahkamah Perlembagaan serta mengabaikan isu mendesak seperti pengangguran, kekurangan ubat-ubatan dan kelengkapan sekolah.

Pada hari sama, Noboa mengetuai perarakan pro-kerajaan di Guayaquil, mempertahankan dasar keselamatan yang dilaksanakannya sejak awal pentadbiran.

Sejak Januari 2024, Noboa giat memerangi kumpulan jenayah terancang yang mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah dengan sokongan Amerika Syarikat.

Noboa menyalahkan kumpulan itu sebagai punca peningkatan berterusan kes kematian ganas tahun ini. - REUTERS

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI