fb fb fb fb fb

Letupan lori gas ragut 8 nyawa di Mexico City

Anggota bomba menyejukkan sisa hangus treler selepas letupan lori tangki gas di Avenida Ignacio Zaragoza, Mexico City. - Foto REUTERS

MEXICO CITY, 12 September - Letupan sebuah lori gas mencetuskan kebakaran besar di lebuh raya di tenggara Mexico City pada Rabu, mengorbankan lapan orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 94 mangsa termasuk 28 dalam keadaan kritikal.

Menurut pihak berkuasa bandar raya, insiden berlaku apabila lori gas terbabit terbabas sebelum meletup di lebuh raya berhampiran sempadan antara perbandaran Iztapalapa dan Chalco, di pinggir Negeri Mexico.

Pasukan bomba dikerahkan segera ke lokasi dan berjaya memadamkan kebakaran.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dalam sidang media menyifatkan kejadian itu “amat tragis”.

Sheinbaum menegaskan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar serta mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Syarikat terbabit juga mengesahkan mempunyai perlindungan insurans dan akan menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berhubung punca letupan yang sekali lagi menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan industri serta tahap kesiapsiagaan kecemasan di kawasan bandar yang padat dengan penduduk. - REUTERS

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI