BRASILIA, 12 September – Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dijatuhkan hukuman penjara 27 tahun 3 bulan pada Khamis selepas didapati bersalah merancang rampasan kuasa untuk terus berkuasa selepas kalah dalam pilihan raya 2022.
Keputusan sabitan itu dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Agung Brazil, yang turut bersetuju dengan hukuman berkenaan.
Keputusan berkenaan menjadikan Bolsonaro, 70, sebagai bekas presiden pertama dalam sejarah negara itu yang disabitkan kerana menyerang demokrasi, dan turut menerima kecaman daripada pentadbiran Trump.
“Kes jenayah ini ibarat satu pertemuan antara Brazil dengan masa lalu, masa kini dan masa depannya,” kata Hakim Carmen Lucia merujuk kepada sejarah Brazil yang dipenuhi rampasan kuasa tentera dan cubaan menggulingkan sistem demokrasi.
Beliau menambah bahawa terdapat bukti kukuh Bolsonaro, yang kini berada dalam tahanan rumah, bertindak “dengan tujuan melemahkan demokrasi dan institusi.”
Empat daripada lima hakim mengundi untuk mensabitkan bekas presiden itu atas lima kesalahan: menyertai organisasi jenayah bersenjata; cubaan menghapuskan demokrasi secara ganas; merancang rampasan kuasa; serta merosakkan harta kerajaan dan aset budaya yang dilindungi.
Sabitan ke atas Bolsonaro menyusul selepas kecaman undang-undang terhadap beberapa pemimpin sayap kanan lain tahun ini termasuk Marine Le Pen di Perancis dan Rodrigo Duterte di Filipina.
Tindakan berkenaan dijangka menambah kemarahan sekutunya, Presiden AS Donald Trump, yang menyifatkan kes itu sebagai “pemburuan sihir” dan sebagai tindak balas mengenakan tarif baharu, sekatan terhadap hakim utama perbicaraan, serta membatalkan visa kebanyakan hakim Mahkamah Agung Brazil.
Ketika diminta mengulas pada Khamis, Trump sekali lagi memuji Bolsonaro dan menyifatkan keputusan itu sebagai “sesuatu yang mengerikan.”
“Saya fikir ia sangat buruk untuk Brazil,” katanya.
Sementara itu, anak Bolsonaro, Ahli Kongres Brazil Eduardo Bolsonaro, yang mengikuti sabitan bapanya dari Amerika Syarikat, memberitahu Reuters beliau menjangkakan Trump akan mempertimbangkan sekatan tambahan terhadap Brazil dan hakim-hakim Mahkamah Agungnya.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, pula menulis di X bahawa mahkamah telah “membuat keputusan tidak adil,” sambil menambah
“Amerika Syarikat akan bertindak balas terhadap pemburuan sihir ini", ujar Rubio.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak sebulat suara, apabila Hakim Luiz Fux pada Rabu memecah tradisi dengan membebaskan Bolsonaro daripada semua pertuduhan dan mempersoalkan bidang kuasa mahkamah.
Undian tunggal itu boleh membuka ruang kepada cabaran undang-undang terhadap keputusan berkenaan, sekali gus berpotensi melanjutkan perbicaraan sehingga pilihan raya presiden Oktober 2026.
Bolsonaro berulang kali menyatakan hasrat untuk bertanding, meskipun kini dihalang daripada memegang jawatan awam. - REUTERS