fb fb fb fb fb

Ratusan orang terperangkap, banjir & tanah runtuh di pedalaman Tibet

Foto AFP

SHANGHAI, 10 Julai- Beratus-ratus orang terperangkap di pedalaman Tibet sejak beberapa hari lalu selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh, lapor media kerajaan China pada Rabu.

Stesen penyiaran China Central Television (CCTV) melaporkan sekurang-kurangnya 472 orang, termasuk penduduk tempatan dan pelancong dari luar kawasan itu, terperangkap di luar Perbandaran Chentang di kawasan Shigatse.

"Hujan berterusan sejak Sabtu di Tibet telah menyebabkan jalan raya rosak, dan bekalan kuasa dan komunikasi di kawasan Perbandaran Chentang terputus", lapor CCTV.

Rakaman yang disiarkan di stesen televisyen menunjukkan air keruh mengalir ke bawah lereng bukit berbatu dan orang ramai sedang berjalan di sepanjang jalan yang rosak.

CCTV melaporkan, pasukan penyelamat telah bertugas selama empat hari dan telah berjaya memindahkan 342 orang yang terkandas ke kawasan bandar berhampiran.

“Selain itu, lebih 130 pelancong dari luar kawasan ini, pekerja asing dan peniaga masih terkandas di kawasan itu kerana jalan raya terjejas, cuaca hujan dan tidak berupaya untuk berjalan jauh,” kata CCTV.

Menurut CCTV, rangkaian komunikasi kecemasan kini telah ditubuhkan di kawasan itu.

China sedang berhadapan dengan cuaca ekstrem di seluruh negara pada musim panas ini dan agensi cuaca negara meramalkan cuaca panas melampau akan berterusan untuk sebahagian besar musim ini.

Kawasan di utara China mengalami gelombang panas, manakala hujan lebat pula telah mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di sebahagian besar kawasan selatan.-  AFP

ROSLINA BINTI DIN