fb fb fb fb fb

Denmark bakal perkenalkan cukai karbon binatang ternakan

Foto REUTERS

COPENHAGEN, 10 Julai-Denmark bakal memperkenalkan cukai karbon kepada binatang ternakan pertama di dunia.

Cukai berkenaan disifatkan unik dan direka bagi membawa negara Scandinavia itu mencapai matlamat ke arah menjadi negara neutral karbon menjelang 2045.

Bermula 2030, pelepasan gas metana oleh binatang ternakan seperti lembu dan khinzir akan dikenakan cukai sebanyak 300 kroner atau AS$43 setiap tan setara CO2.

Jumlah cukai berkenaan dijangka meningkat kepada 750 kroner pada 2034 di bawah perjanjian yang dicapai pada akhir Jun antara kerajaan dengan beberapa pihak melibatkan pembangkang, wakil penternak,industri, dan kesatuan sekerja.

Teks perjanjian berkenaan masih perlu diluluskan oleh parlimen yang akan menelitinya selepas musim panas.

Namun, teks berkenaan menimbulkan pelbagai pandangan dan persepsi daripada pelbagai pihak.

Christian Fromberg, ketua kempen di Greenpeace Nordic, berkata teks itu "menawarkan harapan, dalam keadaan ketika banyak negara menyokong tindakan iklim.

"Walaupun cukai karbon sepatutnya lebih tinggi dan dilaksanakan lebih awal, ia menandakan satu peristiwa penting," katanya kepada AFP.

Bagi Persatuan Pertanian Lestari Denmark, perjanjian itu dilihat tidak berguna.

Katanya adalah "hari yang menyedihkan untuk pertanian", katanya dalam satu kenyataan akhbar.

"Sebagai seorang petani, saya berasa tidak selesa kerana kami mengambil bahagian dalam percubaan yang tidak menentu" yang boleh mengancam "keselamatan bekalan makanan", kata presiden persatuan itu Peter Kiaer.

Kerajaan Denmark turut mencadangkan rancangan pemotongan cukai kepada para petani negara itu sebanyak 60 peratus dalam usaha untuk mengambil hati petani bagi membolehkan undang-undang berkenaan dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, unjuran oleh kementerian ekonomi menganggarkan sehingga 2,000 pekerjaan boleh hilang dalam sektor itu menjelang 2035 akibat perjanjian itu.

Lebih 60 peratus daripada kawasan permukaan negara ditumpukan kepada pertanian.

"Kami mempunyai mitos hebat di Denmark untuk menjadi perintis hijau," kata Fromberg.

"Sangat sukar untuk membuat kes itu, bahawa perjanjian ini adalah bersejarah.

Ia adalah kesinambungan daripada laluan intensifikasi yang telah dilakukan oleh pertanian Denmark selama 70 tahun yang lalu. Perjanjian itu memberi insentif bahawa pertanian Denmark akan terus menjadi yang paling intensif sebagai negara pengeluar daging di dunia", katanya.

Denmark merupakan salah satu pengeksport utama daging khinzir di dunia dan menyumbang hampir separuh daripada eksport pertanian negara itu, menurut Majlis Pertanian dan Makanan Denmark.-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD