fb fb fb fb fb

Ratusan mayat ditemui dengan tangan terikat - Ukraine

IZIUM, 17 September - Sebanyak 450 mayat ditemui di tapak perkuburan besar di wilayah yang ditawan semula daripada tentera Rusia, pada Jumaat.

Kesemua mayat ditemui dengan tangan terikat ke belakang berhampiran bandar Izium dengan menempatkan kebanyakannya orang awam, kata Gabenor Wilayah Kharkiv Oleh Synehubov.

“Kami berada di tapak pengebumian. Ramai orang awam yang dikebumikan di sini, dan kini menurut maklumat kami, mereka semua mempunyai tanda-tanda kematian berunsurkan keganasan.

“Ada mayat dengan tangan terikat ke belakang. Setiap fakta akan disiasat dan akan dinilai dengan betul dan sah,” kata Synehubov.

Pihak berkuasa turut menggali tapak perkuburan yang menempatkan kira-kira 200 salib kayu dan menjumpai hampir 20 beg mayat putih.

Tapak di Izium itu adalah bekas kubu barisan hadapan Russia, menjadi perkuburan terbesar ditemui di Eropah sejak selepas Perang Balkan pada 1990-an.

Tentera Ukraine menawan semula Izium selepas ribuan tentera Russia melarikan diri, meninggalkan senjata dan peluru.

(Seorang askar Ukraine berjalan di antara kubur kebanyakan orang awam
dan askar Ukraine yang tidak dikenali di tanah perkuburan
buatan sendiri di bandar Izium, baru-baru ini/FOTO REUTERS)

Ketua Polis Ukraine, Ihor Klymenko pada sidang media pula berkata, semua mayat ditemui di tapak itu setakat ini, dipercayai orang awam, walaupun ada maklumat beberapa tentera mungkin dikebumikan di tempat yang sama.

“Rusia meninggalkan kematian di mana-mana dan mesti bertanggungjawab,” kata Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy dalam ucapan video semalam.

Bagaimanapun, Russia menafikan angkatan tenteranya melakukan kekejaman.

Ketua pentadbiran pro-Russia yang meninggalkan kawasan itu minggu lalu, Vitaly Ganchev, mendakwa tentera Ukraine bertanggungjawab atas pembunuhan itu dan cuba menyalahkan Moscow - REUTERS

Media Baharu