MANILA, 22 September – Ratusan keluarga berlindung di sekolah dan pusat pemindahan pada Isnin ketika Taufan Super Ragasa membawa hujan lebat serta angin kencang melanda utara Filipina dan selatan Taiwan.
Agensi cuaca negara memaklumkan, taufan itu dengan kelajuan angin maksimum 215 kilometer sejam serta ribut kencang sehingga 265 kilometer sejam dijangka membadai Kepulauan Babuyan sekitar tengah hari.
Ketua bencana wilayah Cagayan, Rueli Rapsing, berkata mereka kini berdepan tiupan angin kuat dan sedang bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk, khususnya di kawasan Calayan.
Di Taiwan, pemindahan kecil-kecilan sedang dijalankan di kawasan pergunungan berhampiran Pingtung, manakala pihak berkuasa bimbang kerosakan yang mungkin menyamai Taufan Koinu dua tahun lalu.
Sekolah dan pejabat kerajaan ditutup di Manila serta 29 wilayah lain sebagai langkah berjaga-jaga. Pihak berkuasa memberi amaran banjir besar dan tanah runtuh boleh berlaku di kawasan utara Luzon.
Amaran banjir dikeluarkan sehari selepas ribuan rakyat Filipina turun ke jalan membantah skandal rasuah melibatkan projek kawalan banjir yang didakwa gagal atau tidak disiapkan.
Rusuhan tercetus apabila perusuh membaling batu ke arah polis, menyebabkan lebih 70 orang ditahan.
Filipina, yang terletak di laluan taufan Pasifik, berdepan purata 20 ribut setiap tahun.
Saintis memberi amaran taufan semakin kuat akibat pemanasan global yang didorong perubahan iklim. - AFP