fb fb fb fb fb

Lima calon rebut jawatan Perdana Menteri baharu Jepun

Sanae Takaichi, 64, berpotensi menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun. / Foto AFP

Tokyo, 22 September – Lima calon Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun mengemukakan pencalonan pada Isnin bagi menggantikan Shigeru Ishiba, yang melepaskan jawatan perdana menteri pada 7 September lalu selepas parti pemerintah itu mengalami siri kekalahan pilihan raya.

Menurut satu tinjauan, daripada lima calon yang mendaftar sebelum pemilihan parti pada 4 Oktober, Sanae Takaichi dan Shinjiro Koizumi dilihat sebagai pilihan utama.

Takaichi, 64, berpotensi menjadi perdana menteri wanita pertama Jepun dan dikenali sebagai nasionalis berhaluan keras, manakala Koizumi, 44, Menteri Pertanian, ialah anak bekas perdana menteri yang popular dan berkarisma.

Tiga lagi calon ialah Toshimitsu Motegi, 69, bekas menteri luar yang terkenal dengan ketegasan dalam rundingan perdagangan; Yoshimasa Hayashi, 64, Ketua Setiausaha Kabinet dalam pentadbiran Ishiba yang berpengalaman luas dalam pelbagai portfolio; serta bekas menteri keselamatan ekonomi, Takayuki Kobayashi, 50.

Menurut pengerusi jawatankuasa pemilihan, Ichiro Aisawa, pencalonan semua calon akan disahkan sebelum mereka menyampaikan ucapan dasar di ibu pejabat LDP pada Isnin.

Sejak ditubuhkan pada 1955, LDP telah memerintah Jepun hampir tanpa henti kecuali selama empat tahun.

Siapa sahaja yang menang bakal berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk populasi yang semakin menua, hutang negara yang tinggi serta ekonomi yang lembap dibebani kenaikan harga.

Pemilihan pada 4 Oktober terbuka kepada ahli LDP biasa.

Lazimnya, ketua LDP akan dilantik sebagai perdana menteri kerana parti itu bersama rakan gabungan Komeito mempunyai majoriti kukuh di parlimen.

Namun, gabungan tersebut kehilangan majoriti di kedua-dua dewan tahun lalu selepas dua kekalahan besar bawah kepimpinan Ishiba. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI