fb fb fb fb fb

Wabak kolera di Bauchi ragut 58 nyawa

Foto REUTERS

BAUCHI, 22 September – Wabak kolera di Bauchi, timur laut Nigeria, telah meragut 58 nyawa dan menjangkiti lebih 250 orang, mendorong pihak berkuasa menubuhkan jawatankuasa baharu bagi memperkukuh tindak balas kecemasan serta langkah pencegahan jangka panjang.

Menurut laporan media, jawatankuasa baharu tersebut akan menyelaraskan usaha tindak balas dan menyesuaikan strategi pencegahan mengikut garis panduan kebangsaan serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Nigeria.

Rakaman dari bandar Bauchi pada Sabtu menunjukkan doktor dan petugas kesihatan merawat pesakit di wad hospital.

Seorang pesakit, Hafsat Muhammed, menceritakan simptom yang dialaminya seperti sakit kepala.

"Saya mengalami sakit kepala, pening, dan kesukaran bernafas," katanya di sini.

Beliau berkata selepas rawatan awal di hospital komuniti, beliau dipindahkan ke fasiliti pakar untuk rawatan lebih baik.

Seorang ibu kepada pesakit muda, Hauwa, menyeru pihak berkuasa mewujudkan mekanisme yang memastikan hospital mengutamakan nyawa pesakit tanpa menunggu bayaran.

"Walaupun kami cuba merawat di rumah dengan ubat, keadaannya bertambah teruk dan terpaksa kami bawa ke hospital umum," katanya.

Petugas kesihatan awam, Aminu Isiyaka, menekankan komuniti sedang dididik mengenai langkah perlindungan.

Beliau menambah sumber air mesti bebas daripada mikroorganisma dan menasihati orang ramai mendidihkan air sebelum digunakan.

Penyakit itu, yang merebak melalui makanan dan air tercemar, masih menular di Nigeria, dengan pakar mengaitkan wabak berulang kepada kekurangan bekalan air yang serius di kawasan bandar dan luar bandar.

Sepanjang dua tahun kebelakangan ini, pegawai kesihatan merekodkan lebih 11,000 kes disyaki kolera, dengan kanak-kanak antara yang paling terjejas. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM