fb fb fb fb fb

Unit anti dron Mexico lindungi Piala Dunia FIFA 2026

Foto VIORY

MEXICO CITY, 22 September – Angkatan Tentera Mexico sedang mempersiapkan unit khas anti dron bagi melindungi pemain, peminat dan media daripada ancaman udara menjelang Piala Dunia FIFA 2026.

Menurut Kapten Infantri Juan Carlos Torralba Mendez, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Negara yang menyelia operasi itu akan menggunakan pelbagai teknologi anti dron, termasuk sistem tetap, separa tetap dan mudah alih mengikut keperluan operasi.

“Ia bersifat mudah alih, boleh digunakan ketika rondaan untuk mengesan sebarang dron, dan kami boleh melumpuhkannya di mana sahaja.

“Di setiap lokasi sistem anti dron diaktifkan, kami akan pilih satu titik terlebih dahulu, menandakannya, mengawalnya, dan titik itu khusus untuk menangkap atau menahan semua dron yang tidak dibenarkan,” katanya di sini.

Tambah beliau, sekatan akan dikenakan terutamanya di kawasan seperti stadium, zon peminat, hotel pasukan dan lapangan terbang.

Peralatan pengacau elektromagnetik akan digunakan bagi memutuskan komunikasi antara dron dengan pengendalinya.

Peminat tempatan mahupun antarabangsa yang berhasrat menggunakan dron bagi tujuan komersial, kewartawanan atau peribadi perlu memohon permit khas bagi mengelakkan tindakan sekatan segera oleh tentera.

Angkatan Tentera Mexico membangunkan pelan keselamatan piala dunia itu sejak dua tahun lalu dengan venue termasuk Estadio Azteca di Mexico City, Estadio Akron di Guadalajara, Jalisco, serta Estadio BBVA di Monterrey, Nuevo Leon. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM