OSLO, 16 Januari - Ratu Norway Sonja, 87 tahun, telah menjalani prosedur pemasangan alat pacu jantung di sebuah hospital di Oslo pada Khamis, menurut istana diraja.
Ratu itu sebelum ini dimasukkan ke hospital di Lillehammer, tenggara Norway pada hujung minggu lalu selepas mengalami masalah degupan jantung tidak teratur semasa bermain ski rentas desa.
Istana pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Ratu Sonja perlu dipasang alat pacu jantung akibat insiden tersebut.
"Prosedur itu berjaya dan ratu berada dalam keadaan baik," menurut kenyataan istana pada Khamis.
Ratu Sonja akan terus berada di Hospital Universiti Oslo "untuk satu atau dua hari" untuk pemerhatian lanjut, tambah kenyataan itu.
Suami baginda, Raja Harald, yang juga berusia 87 tahun dan merupakan raja memerintah tertua di Eropah, turut menjalani pemasangan alat pacu jantung pada bulan Mac lalu selepas dijangkiti jangkitan yang melemahkan baginda semasa bercuti secara peribadi di Malaysia. - AFP