JAKARTA, 17 Januari - Pasukan penyelamat menemukan empat mayat daripada kebakaran yang berlaku di sebuah pusat beli-belah di Jakarta pada Rabu malam, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat bandar raya itu pada Khamis, lapor Xinhua.
Mangsa ditemukan di tingkat lapan Glodok Plaza pada petang Khamis dan dibawa ke hospital polis untuk proses pengecaman lanjut, kata Ketua Agensi Bomba dan Penyelamat Jakarta, Satriadi Gunawan.
Gunawan mengesahkan bahawa lapan orang dilaporkan hilang dalam insiden itu.
Pasukan penyelamat dikerahkan untuk mencari di tingkat tujuh dan lapan, dipercayai lokasi terakhir individu yang dilaporkan hilang, di kawasan hiburan yang disyaki menjadi punca kebakaran.
Laporan awal menunjukkan kebakaran bermula kira-kira 9.20 malam waktu tempatan di mukim Tamansari. Beberapa pengunjung dilaporkan berada di dalam pusat beli-belah itu semasa kebakaran berlaku.
Punca kebakaran masih dalam siasatan. - BERNAMA-XINHUA