NEW YORK, 17 Januari - Lebih 360 wartawan berada dalam tahanan sehingga 1 Disember tahun lalu, menurut laporan tahunan Committee to Protect Journalist (CPJ)
Menurut laporan itu, China, Israel, dan Myanmar dikenal pasti sebagai negara dengan jumlah tahanan wartawan tertinggi.
China mencatatkan 50 tahanan, diikuti Israel (43) dan Myanmar (35), menjadikan ketiga-tiga negara tersebut sebagai "pelaku terburuk dunia dalam penahanan wartawan pada tahun 2024," menurut laporan CPJ.
CPJ berkata, sekatan meluas di China menyukarkan pengesahan jumlah sebenar wartawan yang ditahan, termasuk peningkatan kes di Hong Kong.
Antara kes berprofil tinggi ialah taikun media Jimmy Lai, yang telah dipenjarakan sejak Disember 2020 di bawah undang-undang keselamatan negara Hong Kong.
Lai, 77 tahun, sedang dibicarakan atas tuduhan bersekongkol dengan kuasa asing membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup.
“Angka-angka ini seharusnya merupakan amaran dan membuka mata kepada kita semua,” kata Ketua Eksekutif CPJ, Jodie Ginsberg dalam satu kenyataan.
"Kebebasan media tersekat dengan kebebasan untuk memberi dan menerima maklumat, kebebasan untuk berhimpun dan bergerak, serta kebebasan untuk membantah,'' katanya.
Israel, yang jarang muncul dalam laporan tahunan CPJ sebelum ini, melonjak ke tempat kedua selepas perang Gaza 2023.
Semua wartawan yang ditahan di Israel adalah rakyat Palestin.
CPJ mendakwa penahanan itu bertujuan membisukan laporan keganasan dan kekejaman Israel dari wilayah Palestin.
Asia terus mencatatkan jumlah tertinggi melibatkan wartawan yang dipenjara.
Selain China dan Myanmar, negara seperti Vietnam (16), Afghanistan (2), Bangladesh (4), India (3), dan Filipina (1) turut menyumbang kepada angka tersebut.
“Wartawan yang hanya ingin mendedahkan kebenaran kini menjadi sasaran. Kerajaan perlu sedar bahawa kebenaran tidak boleh ditindas selama-lamanya,” kata Beh Lih Yi, Penyelaras Program Asia CPJ. - AFP