fb fb fb fb fb

Rasuah: Menteri Pertahanan China disiasat

Menteri Pertahanan China, Dong Jun/ Foto REUTERS

BEIJING, 27 November-Menteri Pertahanan China, Dong Jun, disiasat atas dakwaan rasuah, menurut laporan yang diterbitkan pada Rabu.

Ini sekali gus menjadikannya pegawai tertinggi ketiga dalam barisan menteri pertahanan negara itu yang terlibat dalam siasatan rasuah, dalam satu tindakan keras secara besar-besaran terhadap amalan rasuah dalam tentera negara itu.

Menurut laporan daripada Financial Times, siasatan terhadap Dong adalah sebahagian daripada usaha untuk membersihkan tentera daripada rasuah. Namun, kedutaan China di Washington dan Kementerian Luar Negeri Beijing tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan pengesahan dari AFP pada Rabu pagi.

Jika disahkan, Dong akan menjadi menteri pertahanan ketiga berturut-turut yang disiasat kerana rasuah.

Sebelum ini, Li Shangfu yang dilantik sebagai menteri pertahanan pada Disember lalu dipecat hanya selepas tujuh bulan berkhidmat.

Shangfu kemudiannya dipecat dari Parti Komunis China kerana dakwaan rasuah.

Wei Fenghe, bekas Menteri Pertahanan sebelumnya turut dipecat dan diserahkan kepada pendakwaan atas dakwaan rasuah.

Sementara itu, Profesor Dylan Loh dari Universiti Teknologi Nanyang di Singapura berkata, tindakan itu merupakan satu tamparan besar kerana menteri pertahanan sepatutnya dilihat sebagai individu yang bersih dan telus.

Loh turut menambah bahawa siasatan rasuah sering tertumpu kepada tentera berikutan hubungan sejarah yang rapat antara dunia perniagaan dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

Tindakan keras terhadap rasuah di kalangan tentera China semakin diperhebatkan dalam setahun kebelakangan ini dengan Presiden Xi Jinping mengarahkan supaya tentera menghapuskan rasuah dan memperkukuhkan kesiapsiagaan perang negara.

Tindakan itu juga dilaporkan didorong oleh kebimbangan bahawa rasuah boleh menjejaskan kemampuan China untuk menghadapi peperangan pada masa hadapan.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD