fb fb fb fb fb

Ratusan penyokong Imran Khan ditahan dalam serbuan besar-besaran

Foto REUTERS

ISLAMABAD, 27 November-Pasukan keselamatan Pakistan melancarkan serbuan besar-besaran di ibu negara pada malam Selasa, dengan ratusan penyokong bekas Perdana Menteri, Imran Khan ditangkap dalam keadaan huru-hara.

Serbuan itu berlaku selepas ribuan penunjuk perasaan yang dipimpin oleh isteri Imran Khan, Bushra Bibi, melanggar beberapa peraturan keselamatan dan menuju ke kawasan "zon merah yang dikawal ketat di Islamabad.

Zon merah yang diletakkan di bawah kawalan tentera Pakistan menempatkan pejabat-pejabat penting negara termasuk Parlimen dan kedutaan asing.

Kejadian tersebut berlaku setelah ketegangan dan pertumpahan darah berlaku pada hari yang sama, menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang terkorban, termasuk empat anggota pasukan keselamatan yang ditembak mati.

Menurut laporan media tempatan seperti Geo News dan ARY, serbuan itu dilakukan dalam kegelapan malam dengan lampu dimatikan dan gas pemedih mata ditembak ke arah penunjuk perasaan.

Keadaan tegang itu menyaksikan hampir keseluruhan kumpulan penunjuk perasaan dibubarkan, walaupun jumlah sebenar yang ditangkap masih belum dipastikan.

Parti Tehreek-e-Insaf (PTI) yang dipimpin oleh Imran Khan, menyatakan mereka merancang untuk mengadakan protes di zon merah sehingga tuntutan mereka untuk pembebasan Imran Khan dipenuhi.

Menteri Dalam Negeri Pakistan, Mohsin Naqvi, menegaskan bahawa tiada rundingan akan diadakan dengan para penunjuk perasaan yang didakwa bersenjata dan melanggar larangan perhimpunan di ibu negara.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif menuduh penunjuk perasaan bertanggungjawab atas kematian anggota tentera, dengan dakwaan mereka merempuh pasukan keselamatan menggunakan konvoi kenderaan.

Namun, jurucakap PTI, Zulfikar Bukhari, menafikan dakwaan tersebut, menyatakan dua penunjuk perasaan turut terbunuh dan 30 lagi cedera dalam pertempuran tersebut.

Keganasan yang berlaku berikutan perarakan yang dipimpin oleh Bushra Bibi dan pembantu utama Imran Khan, Ali Amin Gandapur, semakin mencetuskan ketegangan di negara Asia Selatan itu.

Kumpulan penunjuk perasaan dilaporkan membawa senjata seperti pelancar gas pemedih mata, batang besi, dan kayu, serta membakar pokok dan rumput sepanjang perarakan.

Sejak Imran Khan dipenjarakan pada Ogos tahun lalu, PTI telah beberapa kali mengadakan protes besar-besaran bagi menuntut pembebasannya.

Tetapi demonstrasi kali ini dilaporkan lebih besar dan lebih ganas berbanding perarakan sebelumnya pada Oktober lalu.

Serangan terhadap wartawan juga dilaporkan berlaku, dengan beberapa media mendakwa wartawan mereka diserang semasa mengadakan liputan protes.

Pada waktu yang sama, kebimbangan terhadap kestabilan politik negara semakin memuncak apabila pasaran saham Pakistan mencatatkan penurunan yang ketara, dengan ditutup pada paras rendah rekod iaitu 3.57% pada Selasa.

Pengarah Institut Asia Selatan di Wilson Center, Michael Kugelman berkata bahawa ketegangan berkenaan menggambarkan pengaruh kuat Imran Khan terhadap pengikutnya, dan menekankan bahawa penyelesaian politik melalui rundingan adalah satu-satunya jalan keluar dari krisis tersebut.

Imran Khan, yang telah digulingkan oleh Parlimen pada 2022 selepas berkonflik dengan tentera yang berkuasa, menghadapi pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan menghasut keganasan, yang semuanya dinafikan oleh beliau dan PTI.

Menerusi Pilihan raya yang diadakan pada Februari lalu, calon-calon yang disokong oleh PTI mendapat jumlah kerusi terbesar, tetapi kerajaan gabungan yang dipimpin oleh Sharif mengambil alih kuasa.

PTI dan Khan mendakwa bahawa keputusan pilihan raya tersebut dimanipulasi bagi menghalang beliau daripada kembali berkuasa, tuduhan yang dinafikan oleh tentera.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD