fb fb fb fb fb

Rasuah: Bekas Menteri Pengangkutan Singapura berdepan lapan lagi pertuduhan baharu

Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran / REUTERS

SINGAPURA, 25 Mac- Bekas Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran dikenakan lapan lagi pertuduhan berkait kes rasuah di mahkamah hari ini.

Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) memaklumkan, pertambahan kes itu menjadikan bekas menteri itu kini berdepan sebanyak 35 pertuduhan, dalam salah satu skandal rasuah berprofil tertinggi di negara itu.

Tuduhan tambahan itu membabitkan dakwaan memperoleh barangan berharga bernilai kira-kira S$18,956 daripada individu yang perniagaannya mempunyai urusan dengan Kementerian Pengangkutan.

Kes rasuah terakhir melibatkan seorang menteri ialah pada 1986 apabila menteri pembangunan negara itu disiasat atas dakwaan menerima rasuah. Menteri itu meninggal dunia sebelum dia didakwa di mahkamah.

Iswaran, 61,bagaimanapun menafikan semua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Itu termasuk rasuah dan menghalang proses pengadilan, yang dijatuhkan pada 18 Januari. Jika disabitkan kesalahan rasuah, dia boleh didenda sehingga S$100,000 atau berdepan tujuh tahun penjara.

Dia ditahan pada Julai tahun lalu dan didakwa memperoleh sogokan bernilai S$384,340 daripada taikun hartanah Ong Beng Seng, sebahagiannya untuk memajukan kepentingan perniagaan Ong.

Mengikut kertas pertuduhan, antara suapan yang diterima Iswaran termasuk tiket perlawanan bola sepak, persembahan muzikal, penerbangan dengan pesawat peribadi Ong dan tiket ke Grand Prix Formula 1 Singapura.

Iswaran adalah penasihat kepada jawatankuasa penganjuran Grand Prix Singapura, manakala Ong memiliki hak perlumbaan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE