fb fb fb fb fb

McDonald's tutup semua cawangan restoran di Sri Lanka

FOTO REUTERS

COLOMBO, 25 Mac- Rangkaian makanan segera gergasi global, McDonald's telah menamatkan perjanjian dengan rakan kongsi tempatannya di Sri Lanka dan kesemua 12 cawangan di negara itu telah ditutup.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarikat pada Ahad.

"Syarikat induk memutuskan untuk menamatkan perjanjian dengan pemegang francais kerana isu standard," kata Sanath Wijewardane, seorang peguam untuk McDonald's. "Mereka tidak menjalankan perniagaan di negara ini. Mereka mungkin memutuskan untuk kembali dengan pemegang francais baharu."

Wijewardane berkata perjanjian itu dibatalkan pada Rabu tetapi cawangan restoran terus beroperasi selama beberapa hari.

Sementara itu, rakan kongsi tempatan, Abans, enggan mengulas.

Wijewardane tidak mendedahkan punca kerjasama itu ditamatkan tetapi tetapi media tempatan melaporkan bahawa McDonald's membawa Abans ke muka pengadilan atas dakwaan amalan kebersihan yang tidak baik.

Abans berkata di laman webnya ia mula bekerjasama dengan McDonald's pada 1998.

Sri Lanka, sebuah pulau Lautan Hindi dengan 22 juta orang, kini sedang dalam fasa pemulihan daripada krisis kewangan yang besar.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE