KHARTOUM, 15 Julai- Rangkaian telekomunikasi mudah alih serta akses internet di ibu negara Sudan terputus selama beberapa jam.
Walaupun gangguan itu kembali pulih, punca kerosakan tidak dimaklumkan.
Sepanjang hari, asap hitam kelihatan di ruang udara ibu pejabat tentera di bahagian tengah Khartoum dan bandar-bandar di selatan.
Penduduk mengaitkan insiden itu dengan pertempuran sengit antara pihak tentera dengan pasukan separa tentera.
Di Omdurman, dilaporkan jet pejuang serta dron turut kelihatan berlegar-legar.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), susulan serangan berterusan, lebih 1.7 juta penduduk Khartoum terpaksa melarikan diri.
Malah, berjuta-juta penduduk yang masih berada di kawasan berkenaan, bergantung kepada akses internet bagi mendapatkan keperluan asas selain makanan dan ubat-ubatan.- AFP
(FOTO AFP)