fb fb fb fb fb

Rangka T-Rex dijual AS$6.1 juta

(Foto AFP)

ZURICH, SWITZERLAND, 19 April- Rangka komposit dinosaur Tyrannosaurus Rex yang dipanggil Trinity dijual pada harga AS$6.1 juta dalam satu lelongan, pada Selasa.

Rangka setinggi 3.9 meter itu yang terdiri daripada tulang tiga T-Rex berbeza dianggarkan berusia 65 juta hingga 67 juta tahun.

Ia dijual di rumah lelong Koller di Zurich selepas dihantar dari Amerika Syarikat dalam sembilan peti gergasi.

Trinity dijual oleh seorang individu dari Amerika dan dibeli pengumpul peribadi Eropah.

Jurulelong Cyril Koller berkata ia adalah rangka T-Rex ketiga yang pernah dijual di lelongan, dan yang pertama di Eropah.

"Ia adalah satu lelongan yang menarik, lebih 30,000 pengunjung datang dan mengagumi Trinity terutama kanak-kanak," katanya kepada AFP.

(Cyril Koller (tengah) semasa penjualan rangka Tyrannosaurus
Rex (T-Rex) di rumah lelong Koller di Zurich, pada 18 April 2023/AFP)

Dalam pada itu, Koller menyuarakan keyakinan walaupun rangka itu telah dijual kepada pembeli persendirian, ia akan kekal dipamer kepada umum.

"Saya 100 peratus yakin kita akan melihat Trinity pada masa hadapan di suatu tempat lagi," tambahnya.-AFP

Media Baharu